IKEA Malaysia mengumumkan yang mereka akan mula menggunakan kenderaan elektrik (EV) untuk penghantaran jarak jauh. Yang mana, perkhidmatan penghantaran melalui Van EV ini akan bermula Mei ini di IKEA Damansara dan hanya tersedia untuk daerah petaling sahaja buat masa ini.
Langkah penghantaran melalui EV ini diambil seiring dengan hala tuju IKEA global dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dari peringkat rantaian bekalan sehingga kepada penghantaran. IKEA juga merancang untuk menggunakan EV secara 100% dalam penghantaran menjelang tahun 2030.
Sebagai maklumat, Van EV yang digunakan oleh IKEA adalah model DFSK EC35 yang dikeluarkan oleh QC FleeT Management. EC35 ini dijana dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan 60kW dengan tork 200Nm, kelajuan maksimum pada 100km/j.
EC35 ini bole memuatkan muatan sehingga 1090kg, menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 38.7 kWj yang mampu bergerak sejauh 275 km mengikut kitaran NEDC. Dari segi pengecasan, ia hadir dengan pengecasan AC pada kadar 6.6kW dan DC pada kadar 40kW yang mampu mengecas 20% hingga ke 80% hanya dalam masa 35 minit. EC35 ini telahpun dilancarkan pada Mei tahun lalu dengan harga jualan RM130,000.